Inilah post pertama aku dalam blog ini. Orang lain ada blog jadi aku pun
rasa nak ada blog jugak. Tah apa yang aku nak tulis aku pun tak tau. Bantai
ajelah labu...hehe. Anyway kebetulan hari ni, pagi tadi lebih kurang pukul 8.30
masa aku buang air kecil tetiba terkeluar sekali batu karang. Aku pun ambillah
buat kenang-kenangan atau barangkali boleh buat rujukan di masa depan.
Sebenarnya aku dah 3 minggu lebih disahkan ada batu karang. Pada 10.2.2013 lalu
aku rasa sakit bila buang air kecil siap air kencing ada campur darah lagi tu.
Mula-mula darah cair bercampur dengan air kencing tapi last sekali keluar pulak
darah pekat. Sakit sungguh rasanya bila buang air kecil masa tu. Rasa pedih
macam kena hiris pisau.
Inilah rupa batu karang tu
Jadi aku pun pi lah klinik. Doktor minta aku buat ujian air kencing. Dari
ujian tu lah doktor kata memang sah aku ada batu karang sebab dalam air kencing
tu ada darah. Apa taknya, melalui pandangan mata kasar pun dah boleh nampak
darahnya inikan pula melalui ujian klinikal. Memang sah-sah la dapat dikesan.
Doktor tu pun tunjukkan la kat aku hasil ujian. Ujian dia lebih kurang macam
ujian perempuan mengandung peringkat awal jugak la. Guna kertas test yang
dicelup dalam sampel kemudian ada la bacaan dia.
Sebenarnya ujian air kencing ni bukan setakat boleh kesan batu karang je,
lain-lain benda pun boleh dikesan jugak. Contohnya dalam sampel aku tu ada juga
protein. Sepatutnya protein tak boleh ada dalam air kencing sebab protein
diperlukan oleh badan, bukannya bahan buangan. Maksudnya buah pinggang aku ni ada
masalah sikit la. Tapi doktor kata tak apa sebab protein yang dikesan tu jumlah
dia sikit sangat. Nak tau sikit ke banyak senang je. Kertas test tu ada dalam 5
warna lebih kurang kalau tak silap aku, di mana setiap warna menunjukkan
kehadiran bahan yang berlainan. Dalam setiap warna pulak ada 4 atau 5 tahap.
Kalau hasil ujian menunjukkan warna kuning contohnya dan tahapnya adalah 1 maka
kehadiran bahan tersebut dalam air kencing adalah tidak serius. Tapi kalau
bacaannya pada tahap 5 kira seriuslah tu.
Protein yang dikesan dalam air kencing aku ni hanya pada tahap 1 jadi kira
sikitlah so tak la serius. Tapi yang bahagian kesan darah pulak tahap aku
menunjukkan tahap paling tinggi sekali. Jadi doktor kata sahlah aku ada batu
karang. Darah tu hadir dalam air kencing sebab batu karang tu kemungkinan telah
bergesel dengan barangkali dinding salur kencing atau buah pinggang. Jadi ianya
ibarat pisau yang menghirislah.
Dipendekkan cerita doktor tu pun bagi la ubat. Ada la dalam 4 jenis ubat dan yang sah-sah
ada ialah pain killer la. Selain daripada tu ada antibiotik untuk mengelakkan
jangkitan kuman pada salur kencing jika batu tersebut tersangkut pada saluran
kencing. Ada
juga ubat untuk pecahkan batu karang tapi yang ni nasib nasib je la la. Kalau
boleh pecah, pecah la dia so dia akan keluar bila buang air kecil . Kalau tak,
kena la jumpa doktor lagi untuk tindakan seterusnya. Selain dari tu doktor
nasihatkan minum air mineral banyak-banyak minimum 3 liter satu hari.
Masa kena penyakit tu memang perit sangat aku rasa. Bila rasa nak terkencing
je aku jadi takut la pulak. Mana tak takut, peritnya mak ai tuhan sajalah yang
tahu. Bukan saja masa buang air kecil, duduk pun rasa sakit, angkat beban berat
rasa sakit, solat pun kena berdiri je tapi aku tahan jugak la. Ubat doktor bagi
aku makan sampai habis dalam masa lebih kurang seminggu. Sakitnya tak juga abis
cuma rasa sakit tu ada masa kuat ada masa slow sikit. Masuk minggu kedua ubat
dah abis aku tumpukan minum air mineral je banyak-banyak dengan harapan batu
karang boleh keluar tapi tak keluar-keluar jugak.
Minggu ketiga pun macam tu jugak. Wife aku dah ajak pi hospital tapi aku
kata tunggu dulu. Kalau boleh nak bagi dia keluar sendiri jugak. Aku sebenarnya
takut nak pi hospital ni. Tahun lepas ada sorang kawan aku kena penyakit macam
aku jugaklah. Dia pi hospital swasta yang gah jugak namanya. Bila di x-ray dan disahkan
dia ada batu karang, doktor masukkan tiub melalui salur kencing untuk mengesan
dan memecahkan seterusnya menyedut keluar batu karang tersebut. Mungkin batu
karang dia kecil agaknya sebab tu boleh masukkan tiub je. Atau mungkin juga
faktor kedudukan batu karang dia tu yang membolehkan ianya dikeluarkan melalui
tiub. Setahu aku kalau batu tu besar atau kedudukannya di tempat sukar memang
tak boleh guna tiub untuk keluarkan. Barangkali kena bedah jugak la kot. Dia
story kat aku masa proses tu berlangsung sakitnya mak aii tak boleh tahan woo.
Itu hospital swasta yang tip top punya pun masih terasa kesakitannya inikan
pula hospital gomen.....tu lah yang buatkan aku rela tahan tunggu batu tu kuar
sendiri daripada pi buat operation macam kawan aku tu.
Waktu aku kena penyakit ni kerap pulak buang air kecil. Kalau malam purata
dalam 10 kali rasanya. Campur dengan siang mau rasanya dalam 20 kali lebih.
Tiap kali buang air kecil tiap kali tu lah aku tanggung kepedihan dan
keperitannya. Minggu ni masuk minggu ke empatlah aku kena sakit ni. Aku dah
setkan dalam hati memang aku terpaksa jugak pi hospital. Pasrah ajelah.
Cadangan tu aku nak pi esok. Nasib aku ni baik agaknya pagi tadi aku buang air
kecil dalam pukul 8.30 tetiba je terkeluar sekali batu karang tu. Aku nampak
dengan mata kepala aku sendiri batu karang tu keluar bersama-sama dengan air
kencing. Bila keluar je batu tu terus hilang segala rasa perit masa buang air
kecil. Terus rasa normal je. Maksudnya memang punca rasa perit dan pedih waktu
aku buang air
kecil selama ini ialah
disebabkan oleh batu karang tersangkut pada salur kencing jadi ianya telah
bergesel dengan dinding salur kencing. Lega rasanya walaupun belum tentu batu
karang yang ada pada aku ni dah habis terus tapi sekurang-kurangnya ada yang
dah keluar.
Lagi satu aku ni kira nasib baik jugak sebab kedudukan batu karang nampaknya
bukan berada di tempat yang sulit untuk keluar. Ada batu karang duk dalam buah pinggang. Ada juga yang duk dalam
pundi kencing. Kalau duk dalam pundi kencing ni dan batunya pun tak besar ada
harapanlah boleh keluar melalui proses kumuhan yang biasa. Bila kena penyakit
macam ni barulah terasa betapa penting masa sihat sebelum sakit. Kiranya sakit
ni adalah waktu yang baik untuk aku muhasabah diri sendiri. Syukur juga sebab
sakit ini menggugurkan dosa-dosa kecil insyaallah.
Jadi kepada pembaca yang tah macam mana boleh sampai ke blog aku ni (aku
ucapkan selamat datang….hehe) dan baca karangan
merapu aku yang panjang dan meleret-leret ni, kalau nak elakkan kena penyakit
macam aku ni kenalah ambil langkah pencegahan. Kalau ikut pengalaman aku, di
sini aku senaraikan simptom penyakit batu karang, bagaimana menanganinya dan
langkah pencegahan awal sebelum kena.
Simptomnya ialah anda akan rasa pedih dan perit pada bahagian berkaitan
dengan salur kencing terutama bila buang air kecil. Rasa pedih dan perit ini
juga kan
terasa bila mengangkat beban berat atau melakukan pekerjaan yang memerlukan
anda meneran. Bila anda duduk anda tak boleh duduk dalam keadaan tegak
sebaliknya kena sengetkan badan sebab bila duduk dengan tegak anda akan terasa
perit dan pedih. Ini adalah kerana bila berada dalam keadaan duduk tegak, anda
akan menyebabkan batu karang terhimpit jika ianya berada dalam saluran kencing.
Tekanan yang berlaku kepada batu karang dalam saluran kencing itulah yang
menyebabkan anda berada sakit kerana ia bergesel dengan dinding salur kencing.
Simptom lain ialah kencing anda tidak lawas.
Maksudnya setelah anda buang air kecil, lelehan air kencing akan keluar
sikit-sikit tapi tidak berterusan. Lelehan ini kadangkala tak terasa tapi anda
boleh lihat melalui seluar dalam anda yang ada sedikit tompok-tompok basah
akibat lelehan itu. Di samping itu juga penyakit batu karang akan membuatkan
air kencing anda sangat keruh. Kalau anda disuruh buat ujian air kencing, anda
boleh nampak pertikel-partikel asing dalam air kencing anda dengan mata kasar.
Jika anda ada mengalami simptom-simptom di atas segeralah jumpa doktor untuk
mengesahnya. Jika doktor sahkan anda memang ada batu karang maka makanlah ubat
yang diberi oleh doktor. Untuk meminimumkan kesakitan, mengikut pengalaman saya
anda boleh ambil langkah-langkah berikut iaitu apabila buang air kecil jangan
teran kuat. Sebaiknya buka kemutan tanpa paksaan dan biar air kencing keluar
sendiri. Jika air kencing tidak keluar barulah anda teran sedikit. Sekiranya
anda meneran dengan kuat besar kemungkinan batu karang akan menghiris salur
kencing jika ianya ada dalam saluran kencing oleh itu ianya akan menyebabkan
kencing and berdarah. Langkah kedua ialah elakkan minum minuman berwarna selain
warna jernih iaitu air masak atau air mineral. Minuman seperti teh, kopi, milo,
minuman berkarbonat dan yang seangkatan denganya eloklah ditinggalkan dulu.
Minum air masak atau air mineral sebanyak yang boleh sebaik-baiknya minimum 3
liter sehari. Banyakkan makan buah tembikai kerana buah tembikai akan
menyebabkan kita selalu buang air kecil. Dan yang paling penting sekali ialah
mintalah pada Yang Maha Kuasa supaya sakit anda sembuh kerana penyakit terjadi
dengan izin Allah swt dan penyembuhannya juga berlaku dengan izin Allah swt
dengan syarat kita berusaha untuk sembuh.
.jpg)
Perbandingan besar batu karang dengan sebatang pen. Bayangkanlah mana tak sakit batu ni lalu dalam saluran kencing.
Kata orang cegah sebelum kena. Memang betul. Inilah cara yang terbaik.
Sebaiknya kalau tak nak kena penyakit batu karang ni janganlah sesekali tahan
kencing. Bila rasa nak buang air kecil jangan berlengah terus jelah pi buang.
Tahan kencing inilah yang menyebabkan bahan kumuh dalam air kencing membeku dan
lama kelamaan ia membesar. Selain dari itu seperti yang saya katakan awal tadi
elok la banyakkan minum air masak atau air mineral. Air yang berwarna akan
memaksa buah pinggang kita berkerja lebih untuk memproses bahan kumuhan.
Biasanya kalau jentera selalu kerja over capacity maka besar kemungkinan
jentera tersebut cepat rosak, buah pinggang kita juga seperti itu.
Ada
banyak lagi symptom, cara menanganinya dan langkah pencegahan yang sepatutnya.
Anda tanya mr google pasti anda dapat jawapan. Apa yang di tulis di sini
adalah melalui pengalaman semata-mata. Oleh kerana saya bukannya pengamal
perubatan mungkin juga ada analisa saya yang tidak tepat. Jadi saya mohon maaf
jika ada kesilapan fakta dan sebagainya.